Social Icons

Laman Utama

Featured Posts

Pengenalan Persatuan

Sahabat Insani adalah istilah yang dibawa oleh persatuan terhadap golongan-golongan di atas sebagai lambang kasih sayang dan keperihatinan yang tinggi perlu diberikan khususnya dalam bidang pendidikan Islam

Program Tautan Mahabbah

Tautan Mahabbah

Masalah PnP pendidikan Islam

Kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam mula dititikberatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia supaya tiap – tiap murid yang beragama Islam memahami dan boleh mengamalkan ajaran Islam. Setiap kanak – kanak yang lahir di dunia ini berhak mendapat pendidikan dan pelajaran menurut kebolehan, bakat dan persediaan yang ada pada diri masing – masing.

Cabaran Kerjaya Golongan Kelainan Upaya

Kerjaya merupakan suatu aspek yang penting kepada setiap individu. Setiap individu mempunyai kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kerjaya seperti guru, tukang masak, jurutera dan sebagainya. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat menentukan corak kehidupan serta taraf hidup seseorang. Bagi orang kurang upaya (OKU) juga, tidak terlepas dalam mempunyai kerjaya dalam hidup

Selasa, 22 Mei 2012

Profil Persatuan & Permohonan Waqaf

Dalam usaha untuk mengumpul dana bagi menampung kos pembinaan Kompleks Pendidikan Sahabat Insani (KPSI) ini, kami merayu dan memohon mana-mana pihak yang sudi tampil membantu kami dengan apa jua bentuk bantuan sekalipun.


Profil ini mengandungi butiran lengkap berkaitan Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia (Sahabat Insani) dan juga Kompleks Pendidikan Sahabat Insani (KPSI).


Sehubungan dengan itu, sekiranya Datuk/Datin/Tuan/Puan sudi untuk menghulurkan bantuan dan ingin memiliki profil ini untuk disebarluaskan, sila berhubung terus dengan mana-mana Ahli Jawatankuasa Sahabat Insani seperti berikut:

En. Mohd Huzairi bin Awang@Husain
YDP Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia
Tel: 019-6632151
Emel: huzairi.sahabatinsani@gmail.com

En. Izani bin Mohd Zain
NYDP 1
Tel: 019-2146558
Emel: izani.sahabatinsani@gmail.com

Pn. Hajarul Bahti binti Zakaria
NYDP2
Tel: 019-6992151
Emel: hajarulbahti.sahabatinsani@gmail.com

En. Mohd Hamidi bin Zakaria
Setiausaha
Tel: 013-2166461
Emel: hamidi.sahabatinsani@gmail.com

En. Ahmad Hafizan bin Omar
Bendahari
Tel: 019-6619890
Emel: hafizan.sahabatinsani@gmail.com

Dr. Abdul Aziz Sabran
Ahli Lembaga Pengarah
Tel: 019-4809616
Emel: aziz.sahabatinsani@gmail.com

En. Syahmun bin Yahaya
Ahli Lembaga Pengarah
Tel: 017-3334097
Emel: syahmun.sahabatinsani@gmail.com

En. Mohd Johaary bin Abd. Hamid
Ahli Lembaga Pengarah
Tel: 019-3247981
Emel: johaary.sahabatinsani@gmail.com

Sijil Waqaf dan Infaq

Assalamualaikum,


Alhamdulillah, SAHABAT INSANI MALAYSIA telah berjaya menerbitkan SIJIL WAQAF & INFAQ Pemilikan Tanah & Kompleks Pendidikan Sahabat Insani. Setiap sumbangan yang diberikan, kami akan memberikan salinan sijil waqaf ini untuk simpanan anda.


Hakikatnya, kami tidak menjanjikan apa-apa bentuk pulangan dan keuntungan material yang boleh anda perolehi dengan setiap saham yang anda laburkan. Namun, pulangan kepada sumbangan @ saham anda ini hanya boleh dituntut di akhirat, InsyaAllah... 


Semoga apa juga yang kita lakukan akan mendapat perkiraan terbaik di sisi Allah Taala, InsyaAllah...



Sebagaimana Firman Allah dalam Surah As-Soff, ayat 10-12 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga 'Adn ". itulah kemenangan yang besar."

Rabu, 9 Mei 2012

Konsep Bangunan dan Lokasi

KONSEP BANGUNAN DAN KOS


Bangunan 4 tingkat berbentuk U. Blok bangunan tersebut mempunyai 1 dewan besar, 3 dewan kuliah,  30 bilik kuliah,  1 pejabat pentadbiran, 1 surau, 1 pusat sumber, 1 bilik sukan, 1 bilik rawatan, 1 bilik percetakan, 2 unit stor,  1 kafetaria, 24 unitpenginapan, 10 unit komersil dan tandas. Anggaran kos pembinaan bangunan keseluruhan adalah RM 7 juta (lakaran pelan lantai – lampiran)
  
LOKASI DAN HARGA TANAH

 Sila klik gambar untuk besarkan imej

Tapak Pusat Pendidikan Sahabat Insani terletak di Lot No. 11995, Jijan, Mukim Labu, Seremban, Negeri Sembilan. Tanah sebagai tapak pembinaan telah dipersetujui bersama tuan tanah dengan harga RM 270 000.00 (pelan tanan – lampiran)

SUMBANGAN DANA

Persatuan ini bergerak tanpa mendapat dana daripada mana-mana agensi amat berharap kepada sumbangan daripada dermawan bagi membiayai dan merealisasikan hasrat murni ini.

Segala sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank:

No. Akaun: 12300000574100 
Bank: CIMB Islamik Bank Cawangan Bandar Baru Salak Tinggi
atas nama: Tabung Pembangunan Pusat Pendidikan Sahabat Insani 

Persatuan sedang menunggu kelulusan LHDN untuk pelepasan cukai ke atas sumbangan yang diberikan. Apa yang lebih penting dan utama akan dikira sebagai amal jariah berterusan disisi Allah SWT.

PENJANAAN KEWANGAN

Pihak persatuan mengambil sikap berpandangan jauh dalam perancangan Pusat Pendidikan Sahabat Insani. Sebuah pusat pendidikan sebesar ini pasti memerlukan kos operasi dan penyelenggaraan yang besar apabila siap nanti. Oleh itu aktiviti ekonomi perlu dijalankan bagi memenuhi keperluan tersebut melalui ;

·       Hotel Islam - 8 unit apartment/kediaman di Aras 1
·       Ruang komersil (ruang niaga) – 10 unit di Aras Bawah
·       Sewaan Dewan Besar (1 unit)
·       Sewaan Dewan Kuliah ( 4 unit)
·       Sewaan Bilik-bilik kuliah untuk tujuan bengkel dan perbincangan

Koleksi Artikel Ilmiah

Koleksi artikel ilmiah berkaitan masalah pengajaran dan pembelajaran golongan berkeperluan khas. Sekiranya nda yang mempunyai artikel yang menarik untuk dikongsi dalam ruangan ini, sila emelkan bahan/artikel tersebut kepada blog master di alamat :


sahabatinsani@gmail.com


Artikel 1: Masalah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam Kepada Murid Bermasalah Pendengaran
Artikel 2: Cabaran Kerjaya Golongan Kelainan Upaya
Artikel 3: Peningkatan Budaya Pekak di Malaysia

Artikel Ilmiah 3: PENINGKATAN BUDAYA PEKAK DI MALAYSIA

Disediakan oleh : Syar Meeze bin Mohd Rashid

Apabila diperkatakan tentang budaya pekak, kebanyakan rakyat Malaysia tertanya-tanya dan tidak mengerti bahawa golongan pekak mempunyai budaya yang tersendiri. Tidak kiralah sesiapa sahaja kita bertanya kepada golongan yang tidak mempunyai kaitan dengan orang pekak dan pendidikan khas pasti mereka tidak mengenali budaya yang diamalkan oleh orang pekak. Di Malaysia budaya pekak merupakan suatu perkara yang baru dan masih belum banyak diperkatakan kecuali golongan yang mempunyai kaitan dengannya. Walaupun golongan pekak sudah lama wujud di Malaysia, tetapi budaya mereka masih lagi dalam peningkatan. Hal ini demikian kerana, kesedaran terhadap pendidikan khas dan golongan kurang upaya di Malaysia masih baru dan dalam perkembangan.
Budaya dalam kamus dewan edisi terbaru bermaksud tamadun, peradaban, kemajuan akal fikiran dan akal budaya. Antara kriteria dalam sesuatu budaya ialah sifat prilaku, kepercayaan, nilai, bahasa, kesenian, institusi dan sejarah. Peningkatan sesuatu budaya itu bergantung kepada perkembangan sesuatu bangsa itu sendiri. Misalnya, pada zaman dahulu, perkembangan budaya melayu sangat berkembang sehingga terkenal di seluruh nusantara disebabkan oleh sikap dan nilai yang dipegang oleh budaya itu sendiri. Jadi, ini membuktikan bahawa budaya pekak boleh diterima sebagai suatu budaya kerana memenuhi kriteria budaya seperti bahasa, sejarah, kepercayaan dan nilai.

Mengapa budaya pekak ini wujud?, Apakah yang menyebabkan budaya pekak wujud?. Budaya pekak wujud disebabkan oleh ciri-ciri berikut iaitu golongan pekak mempunyai bahasa dan ciri-ciri linguistik yang tersendiri. Bahasa yang mereka amalkan ialah bahasa isyarat. Kebanyakan masyarakat tidak menyedari bahawa bahasa isyarat merupakan suatu bahasa. Mereka menanggap bahawa bahasa isyarat ialah suatu simbol yang direka sahaja. 

Sebenarnya, bahasa isyarat merupakan suatu bahasa. Hal ini demikian kerana, bahasa isyarat mempunyai ciri-ciri dan memenuhi kriteria-kriteria bahasa. Bahasa isyarat juga, sentiasa mengalami perkembangan dari semasa ke semasa kerana kemajuan dan perkembangan akal golongan pekak dalam peningkatan. Antara bahasa isyarat yang diamalkan di Malaysia ialah BIM (Bahasa Isyarat Malaysia) atau MySL. Selain itu, terdapat golongan pekak mengamalkan bahasa isyarat Amerika atau Amerika Sign Language kerana golongan pekak ini telah mendapat pendidikan di sana. Bahasa yang diamalkan oleh komuniti pekak sentiasa mencapai tahap yang berbeza-beza mengikut pengetahuan yang mereka terima. Ini menunjukkan bahawa kemahiran bahasa yang dikuasai oleh seseorang pekak adalah berdasarkan kemajuan bahasa isyarat dan ilmu bahasa yang diperoleh.

Selain itu, ciri-ciri yang menyebabkan kewujudan budaya pekak ialah sikap dan nilai yang diamalkan oleh golongan pekak. Golongan pekak mempunyai nilai dan sikap yang tersendiri. Sebagai contoh, dari segi pertuturan, teguran dan sebagainya. Nilai yang dipegang oleh mereka mempunyai cara yang tersendiri dan sentiasa diamalkan dan diwariskan oleh semua golongan pekak. Kebanyakan nilai yang mereka amalkan tidak sama seperti kita. Misalnya, dari segi teguran, bagi kita sebagai warga normal, memegang bahu untuk menegur atau memanggil adalah suatu nilai yang kurang enak, berbanding dengan golongan pekak memegang bahu merupakan suatu adab untuk menegur dengan cara yang baik dan sopan.

Seterusnya, kesedaran sejarah yang diamalkan oleh golongan pekak menyebabkan budaya pekak wujud. Hal ini disebabkan oleh kesedaran mereka untuk berkembang maju telah timbul dalam diri mereka. Peredaran perkembangan kemajuan dalam komuniti mereka disebabkan oleh kesedaran sejarah komuniti mereka yang menjadi pendoman bagi mereka untuk berjaya. Selain itu, kesedaran ini wujud disebabkan oleh pengetahuan tentang peristiwa yang dialami oleh orang pekak dalam dan luar negara. Misalnya, salah satu punca menyebabkan orang pekak Malaysia mempunyai kesedaran terhadap perkembangan budaya pekak di Malaysia ialah kemajuan budaya pekak yang diamalkan di barat yang menjadi contoh dan ikutan bagi mereka. Mereka juga, sentiasa menghormati golongan pekak yang lebih tua dan menghargai pengetahuan mereka tentang tradisi-tradisi golongan pekak.

Kepercayaan yang diamalkan oleh golongan pekak juga menyebabkan kewujudan budaya pekak. Hal ini demikian kerana, seperti golongan normal golongan pekak juga, mempunyai kepercayaan agama masing-masing. Misalnya, terdapat golongan pekak yang menganut agama Islam, Buddha, Kristian dan sebagainya.Pendidikan agama yang diberikan kepada golongan pekak juga telah berkembang. Sebagai contoh, terdapat kelas-kelas pendidikan islam bagi golongan pekak dijalankan di persatuan-persatuan pekak. Hal ini membuktikan bahawa golongan pekak juga boleh mempelajari dan mengamalkan kepercayaan agama.

Pengeratan masyarakat pekak dapat dilihat dari segi penubuhan pelbagai persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang menyebabkan adanya budaya mereka. Misalnya, MFD (Malaysian Ferderation of Deaf), Pusat Maju Diri Y dan sebagainya. Kesemua, persatuan dan kelab ini mempunyai perkaitan dan hubungan antara satu sama lain dan mewujudkan perpaduan di antara golongan pekak.

Seterusnya, perkembangan kerjaya dalam kalangan orang pekak merupakan faktor yang menyebabkan wujudnya budaya pekak. Pada masa ini kerjaya orang pekak boleh dikatakan ke tahap yang baik. Hal ini demikian kerana, terdapat sesetengah masyarakat mula mempunyai kesedaran terhadap golongan pekak. Berbanding dengan pada masa dahulu golongan pekak di pandang hina dan di anggap oleh masyarakat sebagai golongan yang tidak mengetahui apa-apa. Namun, pada masa ini berkat usaha daripada persatuan-persatuan pekak seperti MFD, Pusat Maju Diri Y dan sebagainya telah membuktikan bahawa golongan pekak layak mendapat peluang kerjaya.

Di Malaysia kerajaan telah memberikan banyak peluang pendidikan kepada golongan pekak bagi membantu mereka membina kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, penubuhan sekolah-sekolah khas, rendah dan menengah untuk masalah pendengaran, vokasional, dan institut pengajian tinggi bagi membolehkan golongan pekak menyambung pelajaran mereka. Hal ini membuktikan bahawa golongan pekak mampu belajar seperti golongan normal. Peningkatan pendidikan dalam kalangan orang pekak memberi peluang kepada mereka untuk memajukan budaya mereka.

Selain itu, terdapat peluang transisi kerjaya yang diberikan oleh golongan pekak. Misalnya, terdapat kolaborasi dengan kilang, pasar raya, kedai makanan dan sebagainya. Bantuan pekerjaan daripada kerajaan dapat membuka minda golongan pekak dan normal serta merwujudkan hubungan erat antara satu sama lain. Trasnsisi ini juga, memberi peluang kepada golongan pekak melibatkan diri dalam bidang kerjaya masing-masing.

Pelbagai kemudahan telah diberikan kepada golongan pekak bagi membantu perkembangan budaya dalam kalangan mereka. Sebagai contoh, kemudahan perubatan, kemudahan jurubahasa isyarat, kemudahan kebajikan, kemudahan pendidikan dan sebagainya. Sebagai contoh, kemudahan kad OKU yang diberikan oleh kerajaan yang membantu golongan pekak dalam mendapat pertolongan kebajikan seperti potongan harga tambang, bil dan sebagainya. Kemudahan ini menunjukan keperihatinan pihak kerajaan dalam membantu golongan kurang bernasib baik.Kesemua kemudahan ini memberi peluang kepada golongan pekak bagi mempertingkatkan budaya mereka.

Dari aspek perubatan juga, mempengaruhi perkembangan budaya pekak. Bidang perubatan kepada golongan pekak sangat penting kerana dapat membantu golongan pekak untuk mendengar dan bercakap. Misalnya, terdapat terapi audiologi, terapi pertuturan, implan koklea, alat bantu pendengaran dan sebagainya. Perkembangan dalam bidang perubatan terhadap golongan pekak sentiasa mencapai kemajuan. Sebagai contoh, penggunaan alat bantu dengar yang semakin canggih dapat memberi keselesaan dan bantuan yang sewajarnya serta kesenangan golongan pekak untuk mendengar. Kemajuan dalam bidang perubatan kepada golongan pekak ini dapat memberi peningkatan terhadap perkembangan budaya pekak.

Ramai yang menyalahtafsirkan bahawa komuniti pekak adalah daripada golongan pekak sahaja. Namun, sebenarnya komuniti pekak terdiri daripada golongan pekak, guru pendidikan khas yang mengajar golongan pekak, ibu bapa yang mempunyai anak pekak, jurubahasa isyarat, audiologis dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan golongan pekak boleh dikategorikan dalam komuniti pekak. Komuniti pekak ini memberi sokongan kepada golongan pekak dalam meningkatkan kerjaya mereka. Selain itu, komuniti pekak memberi bantuan kepada golongan pekak supaya mereka boleh hidup seperti manusia biasa.

Di Malaysia, bagi pendapat saya hubungan antara komuniti pekak kurang erat dan kurang mempunyai kesedaran. Misalnya, guru pendidikan khas yang mengajar golongan pekak kebanyakan mereka masih mempunyai sifat yang tidak bersungguh-sungguh dalam mengajar golongan pekak dan masih mempunyai tanggapan yang negatif terhadap golongan pekak. Selain itu, hubungan antara persatuan dan kelab pekak serta pihak kerajaan masih kurang erat kerana mempunyai perselisihan faham yang masih tidak mampu diselesaikan. Penggunaan bahasa isyarat di Malaysia yang mempunyai pelbagai pencanggahan dan pendapat yang menyebabkan sesetengah komuniti pekak berasa keliru dalam penggunaannya. Seterusnya, kesedaran sesetengah ibu bapa golongan pekak masih kurang dan tidak berusaha bersungguh-sungguh serta tidak mencari ilmu terhadap budaya dan ilmu kepekakan. Kesedaran masyarakat terhadap golongan pekak juga, masih kurang kerana masyarakat tidak banyak diberikan pendedahan yang sewajarnya dan ini menyebabkan kebanyakan masyarakat tidak sedar kehadiran dan kepentingan golongan pekak dalam kelompok mereka. Kesemua ini memberi impak yang besar dalam peningkatan budaya pekak di Malaysia jika masalah ini tidak ditanggani dengan segera. Setiap manusia sentiasalah mempunyai sifat betanggungjawab dan saling bantu-membantu serta bekerjasama supaya perkembangan dirisemakin meningkat. 

Bukannya, hanya menyalahkan antara satu sama lain dan bersikap ego serta sombong sehingga menyebabkan perkembangan itu terbantut. Jika tiada siapa yang hendak mengalah dan tidak mempunyai kesedaran atau tidak memberi kesedaran maka perkembangan itu tidak akan berjaya. Maaflah jika penulisan saya agak begitu kasar jika ada yang terasa tetapi kita sebagai manusia haruslah sentiasa menasihati antara satu sama lain dan bukannya cuba mencari kesalahan orang lain.

Jika kita perhatikan budaya pekak di negara-negara barat menyebabkan kita berasa kagum. Hal ini demikian kerana, kita ketahui bahawa sikap orang barat yang merlakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh menyebabkan apa yang mereka lakukan berjaya.Misalnya budaya pekak di Amerika mencapai peningkatan kemajuan yang hebat kerana kesepaduan komuniti mereka sangat erat sehingga menyebabkan mereka maju dan menjadi contoh kepada negara lain. Saya yakin jika komuniti pekak mempunyai kesedaran siapa tahu, komuniti pekak di Malaysia akan menjadi contoh dan ikutan kepada negara lain.

Kesimpulannya, jika manusia ingin membangun kesepaduan antara satu sama lain haruslah ditingkatkan. Buatlah apa cara sekalipun aktiviti, seminar, kempen dan sebagainya tetapi kurangmenyerapkan unsur perpaduan dan tidak mengamalkan nilai-nilai positif maka segala yang dilakukan hanya sia-sia sahaja. Sesuatu tamadun atau budaya berkembang disebabkan oleh kesepaduan bangsa itu sendiri tetapi sesuatu tamadun atau budaya itu musnah disebabkan oleh perpecahan bangsa mereka. Kalau kerajaan tengah sibuk melaksanakan gagasan satu Malaysia, kenapa pula komuniti atau budaya pekak tidak boleh. Jadi fikir-fikirkan.. Sekian.. 

Disediakan oleh : Syar Meeze bin Mohd Rashid
(Penulis merupakan guru pelatih tahun akhir di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas Cheras, dalam PISMP Pendidikan Khas. Beliau juga merupakan AJK Sokongan Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia.)

Rujukan:


Understanding Deaf Culture Malaysian Perspectives (2006), Majudiri Y Foundation

for the Deaf, Kuala Lumpur
Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Artikel Ilmiah 2: Cabaran Kerjaya Golongan Kelainan Upaya

Disediakan oleh : Syar Meeze bin Mohd Rashid


Kerjaya merupakan suatu aspek yang penting kepada setiap individu. Setiap individu mempunyai kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai kerjaya seperti guru, tukang masak, jurutera dan sebagainya. Pemilihan kerjaya yang tepat dapat menentukan corak kehidupan serta taraf hidup seseorang. Bagi orang kurang upaya (OKU) juga, tidak terlepas dalam mempunyai kerjaya dalam hidup. Hal ini kerana, mereka juga memerlukan kerjaya bagi memenuhi keperluan dan kehendak hidup mereka. Namun, menurut (Sarkees dan Scott 1986) mengatakan bahawa terdapat pandangan masyarakat terhadap golongan OKU yang menyebabkan mereka dilayan seperti golongan kelas kedua.


Kebanyakan masyarakat mempertikaikan dalam mengambil pekerja OKU. Hal ini kerana, apabila seseorang OKU datang menemuduga, dalam pemikiiran penemuduga pasti mempunyai 1001 satu persoalan yang negatif tentang kebolehan yang ada pada golongan ini. Misalnya, “bolehkah dia merlakukan pekerjaan ini?”, “bagaimanakah dia dapat menerima arahan?” dan sebagainya. Hasilnya, menyebabkan OKU tidak dapat diterima dalam pekerjaan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Haward (2000) mendapati terdapat 50 % hingga 70 % golongan OKU yang tidak mempunyai pekerjaan dan ada dalam kalangan mereka yang menerima pendapatan yang minimum. Masalah ini berkaitan dengan sikap golongan masyarakat yang menunjukkan sikap negatif dan memandang rendah terhadap keupayaan yang dimiliki oleg golongan OKU untuk bekerja.


Selain itu, terdapat sesetengah majikan yang masih belum terbuka dan belum bersedia dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Antara faktornya ialah pekerja kurang upaya memerlukan cuti sakit, kadar insurans yang tinggi, keselamatan di tempat kerja terganggu, memerlukan kemudahan khas, dan mungkin beberapa perubahan terpaksa dilakukan di tempat kerja bagi menjamin keselamatan pekerja kurang upaya. Jadi, ini akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi jika majikan mengambil mereka bekerja. (Zinida Ariffin (2009)).


Masyarakat yang mempunyai pandangan yang sterotaip akan menyebabkan golongan kurang upaya akan didiskriminasikan. Oleh itu, masyarakat harus diberikan pendedahan yang sewajarnya dalam memberi peluang kerjaya kepada golongan OKU. Berfikiran terbuka dan berfikir diluar kotak harus disemaikan dalam diri masyarakat supaya mereka dapat mengetahui manfaatnya jika mengambil pekerja golongan OKU.


Sebenarnya, walaupun kita lihat golongan OKU serba kekurangan tetapi mereka mempunyai kelebihan yang di anugerahkan oleh Allah kepada mereka. Jadi, tidak salah jika mereka diberi peluang dalam mendapat peluang pekerjaan. Mungkin dengan pemberian peluang ini dapat meningkatkan diri kita dalam memberi bantuan kepada golongan sebegini dan seterusnya bersama-sama memajukan ekonomi dan pembangunan negara.


Saya tidak hanya menyalahkan 100 % golongan normal yang tidak memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Namun, golongan OKU seharusnya bijak dalam membuat persediaan awal dan meningkatkan kemahiran dalam diri supaya diri dapat diterima untuk bekerja. Sebagai contoh, golongan OKU seharusnya mempunyai kemahiran sosial. Hal ini kerana, kemahiran sosial ini penting kerana golongan OKU dapat mengetahui cara berhubung dengan masyarakat. 


         Kemahiran sosial yang mesti perlu dikuasai seperti kemahiran mengikut arahan, menerima kritikan, meminta bantuan, kemahiran bekerjasama, kemahiran memahami perasaan orang lain, dan kemahiran berinteraksi. Oleh itu, jika kemahiran ini dapat dikuasai maka senang bagi seseorang OKU dapat bersosial dengan masyarakat secara mudah. Golongan OKU juga, perlu berusaha supaya sentiasa produktif, berdisiplin, mengikis dan mengubah sikap supaya tidak menyerah kepada takdir dan menunjukkan kemahiran dalam sesuatu bidang yang dikuasai seperti orang lain (Zinaida Ariffin 2009). Menurut Clark dan Klostoe (1995) golongan OKU perlu bersedia menerima sebarang cabaran dan menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu bidang kerjaya yang ingin diceburi.


Zainida Ariffin (2009) mengatakan bahawa golongan OKU perlu bersikap lebih berani dan terbuka dalam pemikiran bagi menerima cabaran baru jika mereka ingin meraih kejayaan. Bidang kerjaya yang diceburi lebih luas iaitu melibatkan semua golongan masyarakat dan tidak tertumpu kepada sesuatu kumpulan minoriti sahaja. Sikap ingin bersama-sama dengan rakan senasib perlu dikikis. Mereka perlu berfikiran terbuka dan tidak takut menghadapi cabaran. Keupayaan dan kebolehan fizikal serta intelek perlu difikirkan bagi menjamin individu mampu menguasai bidang yang diceburi.


Sesungguhnya, jika masyarakat berfikran terbuka, dan golongan OKU mengubah sikap dalam diri, maka interaksi antara kedua-dua pihak akan dapat dijalinkan. Setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing. Kelebihan itu akan terserlah jika individu dan masyarakat berusaha untuk meningkatkannya. Kesannya, pembangunan dan keharmonian sesebuah negara akan dapat dicapai kerana unsur –unsur diskriminasi dan pandangan negatif dihakis oleh seluruh masyarakat.




(Penulis merupakan pelatih tahun akhir di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras dalam bidang Pendidikan Khas)

Artikel Ilmiah 1: Masalah PnP Pendidikan Islam Kepada Murid Bermasalah Pendengaran

MASALAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM KEPADA MURID BERMASALAH PENDENGARAN

Disediakan oleh : Syar Meeze bin Mohd Rashid

Kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam mula dititikberatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia supaya tiap – tiap murid yang beragama Islam memahami dan boleh mengamalkan ajaran Islam. Setiap kanak – kanak yang lahir di dunia ini berhak mendapat pendidikan dan pelajaran menurut kebolehan, bakat dan persediaan yang ada pada diri masing – masing ( Hamdi Ishak 2010). Islam menyeru umatnya supaya menuntut ilmu. Seruan ini telah terkandung dalam wahyu yang pertama yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al – Alaq surah ke 96 ayat 1. 
Murid – murid pendidikan khas bermasalah pendengaran juga, tidak ketinggalan mengikuti mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah (Hamdi Ishak 2010). Pengajaran subjek pendidikan Islam dapat memberi peluang kepada murid – murid bermasalah pendengaran yang beragama Islam dalam mempelajari agama supaya dapat diterapkan dan diamalkan dalam kehidupan mereka.

Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah didatangi oleh Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah SAW sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah SWT telah mewahyukan ayat 1 – 11, Surah Abasa yang bermaksud :

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia di datangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad ) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang yang didapati daripadamu) ! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al –Quran ), maka engkau bersungguh – sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirnya (daripada keingkarannya). Adapun orang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya    (melanggar perintah – perintah Allah ) maka  engkau berlengah – lenggah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu !. Sebenarnya ayat – ayat Al – Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). “

Walaupun kisah di atas menceritakan tentang orang buta, namun ia merangkumi golongan kurang upaya yang lain yang seharusnya tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam pendidikan Islam.

            Setiap murid Islam wajib diajar pendidikan Islam sebagai asas kekuatan dalaman peribadi muslim untuk mengharungi kehidupan yang mendatang ( Mohd Huzairi Awang 2010). Dalam sistem pendidikan kebangsaan  di Malaysia mata pelajaran pendidikan Islam diajar sebagai matapelajaran wajib di sekolah rendah dan menengah bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, Kurikulum Pendidikan Islam digubal berlatar belakang Falsafah Pendidikan Islam. (Kementerian Pelajaran Malaysia 2002)  Dalam hal ini menyebabkan murid –murid pekak mengikuti alam persekolahan sebagaimana pelajar lain dalam aliran kebangsaan. Mereka mengikuti pengajian peringkat rendah dan menengah di sekolah – sekolah pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah – sekolah harian dengan menggunakan kurikulum kebangsaan (Mohd Huzari Awang 2010).  Pendidikan pelajar berkeperluan khas telah ditetapkan sebagaimana seksyen 40 Akta Pendidikan 1996 :

Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas yang ditubuhkan dibawah perenggan 34 ( 1) (b) atau di mana – mana sekolah rendah atau menengah yang di fikirkan oleh Menteri suaimanfaat.

            Oleh itu, keperluan murid – murid bermasalah pendengaran dalam mendapat pendidikan khususnya pendidikan Islam amat penting kepada mereka supaya mereka  dapat mengetahui kewajiban yang perlu dilakukan sebagai hamba Allah.

Dari segi pandangan Islam, kanak – kanak bermasalah pendengaran wajib diberikan pendidikan agama, berdasarkan gesaan Al – Quran dan sunnah Rasulullah SAW  ( Hamdi Ishak 2010). Oleh itu, subjek pendidikan Islam telah diajar sebanyak enam waktu seminggu, dengan dua waktu amali. Seharusnya, pegajaran pendidikan Islam telah cukup untuk menerapkan perkara asas dalam pendidikan Islam. (Hamdi Ishak 2010). 

Namun, apa yang menjadi masalah ialah kebanyakan murid bermasalah pendengaran tidak memahami pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran pendidikan Islam. Hal ini terbukti melalui kajian yang dilakukan oleh  Mohd Huzairi Awang 2010  mengenai  persepsi pelajar bermasalah pendengaran terhadap pembelajaran fardhu ain,  menyatakan bahawa kebanyakan pelajar bermasalah pendengaran tidak ingin menghadiri kelas tambahan fardhu ain, selalu mengelak diri dari kelas fardhu ain kerana pembelajaran fardhu ain kurang menarik, pelajar  sukar untuk memahami kandungan fardhu ain, dan memang murid tidak boleh faham fardhu ain. Mengapakah masalah ini boleh terjadi?, sedangkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kerap kali di ajar di sekolah khas. Hal ini  sebenarnya menunjukkan bahawa, terdapat masalah dalam pengajaran dan pembelajaran terhadap murid – murid bermasalah pendengaran dalam subjek pendidikan Islam. 

Antara masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran ialah kebanyakan murid – murid bermasalah pendengaran tidak begitu memahami pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam yang diajar oleh guru. Hal ini kerana, kebanyakan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Islam banyak melibatkan aspek – aspek yang berkaitan dengan aspek abstrak khususnya topik akidah. Topik akidah pula adalah topik  yang sukar dibayangkan dalam diri murid bermasalah pendengaran. (Hamdi Ishak 2010). Sebagai contoh,aspek – aspek  yang berkaitan dengan perkara abstrak ialah konsep ketuhanan, konsep pahala dan dosa, kewujudan alam akhirat, kewujudan makhluk Allah yang lain seperti malaikat, syaitan, dan jin, mukjizat para nabi dan para rasul serta sebagainya. Masalah ini wujud disebabkan murid – murid bermasalah pendengaran mempunyai perkembangan kognitif yang tidak sama dengan murid – murid normal. Menurut Safani Bari 2006 menyatakan bahawa  kanak – kanak bermasalah pendengaran sukar memahami konsep – konsep yang  abstrak  atau mengekalkan sesuatu maklumat yang diterima. Hal ini disebabkan oleh deria lihat lebih banyak membantu mengenai kefahaman sesuatu konsep yang nyata atau dapat dilihat manakala bahasa pula berperanan memberikan gambaran kepada sesuatu konsep yang tidak dapat dilihat atau abstrak. Jelaslah menunjukkan bahawa masalah ketidakfahaman adalah punca masalah  pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.

Akibat ketidakfahaman murid terhadap subjek pendidikan Islam, maka wujudlah  masalah kurang minat murid terhadap subjek ini. Sebenarnya murid – murid bermasalah pendengaran berasa minat untuk mempelajari pendidikan Islam tetapi akibat masalah ketidakfahaman terhadap pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam menyebabkan sedikit sebanyak rasa minat itu hilang dalam diri. 

Menurut Mohd Huzairi Awang 2010  menyatakan bahawa pelajar – pelajar pekak memang meminati pembelajaran fardhu ain, Mereka menganggap pembelajaran fardhu ain adalah penting dalam kehidupan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka menganggap sesi pengajaran dan pembelajaran kurang memberi makna. Masalah ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa minat mereka untuk mempelajari fardhu ain. Selain itu, menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan dalam kajiannya iaitu minat kurang mendalam terhadap fardhu ain menyebabkan pelajar bermasalah pendengaran mudah berputus asa dalam mempelajari fardhu ain sekiranya tidak dapat memahami fardhu ain dengan betul. Sikap kurang minat murid bermasalah pendengaran terhadap subjek pendidikan Islam  menyebabkan segelintir mereka beranggapan bahawa pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam tidak penting dan tidak mempunyai kaitan dengan bidang kerjaya yang dicita – citakan. (Mohd Huzairi Awang 2010). Perkara ini menunjukkan bahawa sikap kurang minat murid merupakan salah satu faktor masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.

Kesedaran ibu bapa dalam memberikan pendidikan Islam kepada murid – murid bermasalah pendengaran merupakan salah satu faktor berlakunya masalah dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam. Hal ini kerana, ibu bapa kurang sedar untuk memberi pendidikan agama kepada anak – anak bermasalah pendengaran. Mereka lebih gemar meletakkan tanggungjawab tersebut kepada guru – guru di sekolah (Hamdi Ishak 2010). Ibu bapa seharusnya sedar bahawa kepentingan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam terhadap anak – anak bermasalah perdengaran  perlu dititikberatkan. 

Namun, kebanyakan ibu bapa menganggap masalah yang dihadapi oleh anak – anak mereka menyebabkan mereka tidak perlu menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada anak – anak bermasalah pendengaran. Hal ini sehingga menyebabkan kanak – kanak bermasalah pendengaran apabila menjangkau usia dewasa mereka beranggapan bahawa mereka tidak berkewajipan dan tidak perlu mempelajari pendidikan Islam. Perkara ini telah terbukti melalui kenyataan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia Sazali Shaari 2006 semasa majlis pelancaran VCD panduan solat dalam bahasa isyarat mengatakan bahawa masih terdapat segelintir yang tidak dapat menghayati rukun Islam kedua dan faham apa sebenarnya berlaku, malah ada yang mengatakan mereka tidak sembahyang kerana dikecualikan daripada hukum sembahyang. Hal ini jelaslah menunjukkan bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan anak – anak bermasalah pendengaran mendapat pendidikan agama yang sewajarnya.

Faktor daripada guru juga, merupakan salah satu punca berlakunya masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Masalah daripada guru dapat dikesan akibat daripada perkara – perkara berikut. Perkara pertama, guru – guru yang mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran bukanlah daripada bidang pendidikan khas. Hal ini menyebabkan kebanyakan guru – guru pendidikan islam apabila ditempatkan di sekolah khas mereka tidak mengetahui kemahiran dalam mengajar pendidikan islam kepada murid khas. 

Daripada dapatan kajian yang dibuat oleh Hamdi Ishak 2010 terhadap empat orang guru pendidikan Islam  yang mengajar murid bermasalah pendengaran mendapati bahawa keempat – empat guru mempamerkan kesediaan dan komitmen mereka dalam pengajaran dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi, mempunyai sikap dan akhlak yang baik, mesra dan bertanggungjawab yang menepati ciri – ciri guru yang baik. Namun, dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran dari aspek pendengaran, audiologi, keperluan murid bermasalah pendengaran, dan kemahiran berkaitan dengan pedagogi masih mempunyai kelemahan. Oleh itu, mereka telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kemampuan mereka dan latihan yang diperoleh semasa di institut latihan perguruan mereka, namun masih tidak mencukupi kerana latihan diterima adalah kepada murid normal (Hamdi Ishak 2010). 

Objektif pendidikan Islam mungkin sukar dicapai sekiranya kebanyakan guru – guru yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di Program Pendidikan Khas terdiri daripada guru – guru pendidikan khas yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas, kemahiran untuk mengajar pendidikan Islam (Ab Halim 2003). Maka hal ini menunjukkan kebanyakan guru pendidikan Islam murid bermasalah pendengaran masih tidak mempunyai kelayakan dalam mengajar pendidikan khas.

 Pekara kedua ialah kebanyakan  guru – guru yang mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran  tidak mempunyai strategi pengajaran yang berkesan. Hal ini menyebabkan pengajaran pendidikan Islam yang disampaikan tidak bermakna dan tidak difahami oleh murid. Mohd Mokhtar dan Aliza 2003 yang mengatakan bahawa ramai di kalangan guru yang mengajar Pendidikan Islam tidak mempunyai pengetahuan mengenai strategi pengajaran untuk pelajar – pelajar pendidikan khas, iaitu hanya 34 . 7 peratus yang mempunyai pengetahuan mengenai strategi pengajaran pendidikan khas dan manakala 30 . 4 peratus sahaja mengetahui mengenai strategi pengajaran pendidikan Islam. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru pendidikan Islam masih belum mempunyai strategi yang berkesan dalam mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.

Perkara ketiga ialah kebanyakan guru pendidikan Islam yang mengajar murid bermasalah pendengaran masih lemah dalam penggunaan bahasa isyarat. Hal ini menyebabkan mereka sukar untuk berkomunikasi dengan murid dan kurang  memberi penerangan yang jelas mengenai tajuk – tajuk yang terdapat dalam pendidikan islam. Menurut Mohd Hanafi 2005 mengatakan bahawa sebahagian besar guru pendidikan khas tidak mahir berkomunikasi menggunakan KTBM serta sukar untuk menerangkan perkataan – perkataan yang abstrak semasa dalam pengajaran. Jika seseorang guru tidak mempunyai kemahiran yang asas dalam menggunakan bahasa isyarat maka agak sukar bagi mereka dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutamanya subjek pendidikan Islam.

Masalah yang seterusnya yang dapat kita teliti ialah keadaan sekolah yang tidak menggalakkan pengajaran secara amali dalam  pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Sebagai contoh, aktiviti amali yang tidak diterapkan oleh  pihak sekolah  seperti  tidak menerapkan bacaan doa sebelum belajar, tidak membuat aktiviti solat secara berjemaah, tiada aktiviti – aktiviti  amali dan sebagainya. Hal ini menyebabkan murid – murid bermasalah pendengaran kurang memahami pengamalan ajaran islam yang perlu dilakukan dalam kehidupan mereka  kerana kurang  diterapkan di sekolah dan rumah. Aktiviti amali dan tunjuk cara penting diberikan oleh murid bermasalah pendengaran supaya mereka dapat memahami perkara yang dipelajari serta dapat menarik minat mereka terhadap subjek pendidikan Islam.  Menurut Mohd Huzairi Awang 2010 menyatakan bahawa  P & P fardhu ain perlu menggunakan kaedah yang pelbagai sepeti pembelajaran berpusatkan murid, teknik penerangan disertakan  dengan amali dan tunjuk cara, teknik penyelesaian masalah serta pembelajaran berasaskan masjid agar pelajar pekak merasakan P & P fardhu ain satu waktu yang ditunggu – tunggu dan mereka sangat berminat untuk menghadirinya. Terbuktilah bahawa masalah keadaan sekolah adalah merupakan salah satu punca masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.

Di sekolah pendidikan khas bermasalah pendengaran menawarkan aliran akademik dan menggunakan Kurikulum Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas 2004). Begitu juga bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, murid – murid pendidikan khas bermasalah pendengaran mengikuti Kurikulum Pendidikan Islam sepertimana murid – murid Islam lain di arus perdana (Hamdi Ishak 2010). Namun, kurikulum yang digunakan kepada murid bermasalah pendengaran adalah tidak sesuai. Hal ini kerana, murid – murid masalah pendengaran mempunyai kesukaran dalam menguasai dan memahami kurikulum dan sukatan pelajaran yang diberikan kerana kurikulum dan sukatan pelajaran  yang digunakan turut digunakan oleh murid normal. Kesannya, masalah ini menyebabkan guru – guru tidak mengikut sepenuhnya sukatan di dalam kurikulum, mengubahsuai kurikulum dan sukatan mengikut kesesuaian murid, tidak mengajar  tajuk – tajuk yang dianggap terlalu sukar dan sebagainya. Hamdi Ishak 2010 menyatakan bahawa guru – guru pendidikan Islam yang mengajar murid  bermasalah pendengaran membuat pengubahsuaian sukatan pelajaran  kerana mereka membuat pentafsiran sendiri berdasarkan pengalaman mereka, mengikut kesesuaian dan tahap kemampuan murid . Hal ini kerana, jika mereka mengikut sepenuhnya daripada kurikulum yang diberi murid tidak akan faham. 

Walaubagaimanapun pencapaian murid –murid bermasalah pendengaran masih berada pada tahap yang lemah (Abdullah Yusof 2002). Memandangkan pencapaian yang kurang memuaskan, Shanti 2004 mencadangkan murid – murid bermasalah pendengaran perlu mengikuti kurikulum khas yang terdiri daripada kemahiran kehidupan harian, kemahiran sosial dan bimbingan kerjaya dan persediaan. Bagi murid yang berjaya melepasi kurikulum tersebut barulah mereka layak untuk mengambil peperiksaan yang setaraf dengan pelajar tipikal.

Seperti yang sedia maklum bahawa penggunaan buku teks merupakan salah satu cara dalam mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan dalam kurikulum kebangsaan.,  Hal ini kerana, buku teks merupakan suatu senario tentang ilmu yang akan dipelajari berdasarkan sukatan dan huraian pelajaran yang dilihat dalam suatu bidang tertentu (Affandi Ag Ghani 2006). Begitu juga dengan  mata pelajaran Pendidikan Islam turut mempunyai buku teksnya tersendiri. Kementerian Pendidikan telah menyediakan buku teks sebagai sumber rujukan sama ada kepada guru mahupun murid. Bagi murid, buku teks boleh dibawa dari sekolah ke rumah sebagai rekod apa yang dipelajari pada hari itu dan apa yang akan dipelajari pada hari esok ataupun keseluruhan tahun persekolahan. ( Affandi Ag Ghani 2006). Begitu juga, dengan murid bermasalah pendengran mereka turut menggunakan buku teks. Namun, masalah yang berlaku ialah guru – guru pendidikan Islam tidak menggunakan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana, mereka beralasan bahawa murid – murid pekak tidak boleh membaca jawi. Kesannya pengajaran yang diajar oleh guru umpama “acuh tak acuh” sahaja. Hal ini kerana, guru – guru menghadapi kesukaran dalam mengajar perkara yang sukar di dalam buku teks dan terpaksa menggunakan cara yang tersendiri sehingga menyebabkan buku teks langsung tidak digunakan oleh segelintir guru pendidikan Islam yang mengajar murid – murid bermasalah pendengaran. Terbuktilah disini bahawa masalah kurikulum yang digunakan adalah merupakan masalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran.

Secara keseluruhan di sini menunjukkan bahawa sebenarnya pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam kepada murid – murid bermasalah pendengaran  masih mempunyai kepincangannya. Walaupun begitu, tanggungjawab mendidik dan membimbing pelajar untuk melahirkan insan yang bertaqwa adalah terpikul di atas bahu guru pendidikan Islam. (Mohd Huzairi Awang 2010) Seorang guru pendidikan khas khususnya guru yang mengajar subjek pendidikan Islam perlulah mempunyai kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran . Selain itu, pihak yang bertanggungjawab seharusnya memantau balik kesesuaian yang perlu dilakukan dalam mengajar pendidikan Islam kepada murid bermasalah pendengaran. Perkara ini perlulah dilaksanakan dan dipantau  dengan segera supaya tanggungjawab dalam memberi ilmu yang bermanfaat dapat diaplikasikan kepada murid bermasalah pendengaran supaya mereka dapat menghadapi cabaran pada masa akan datang dan mengetahui perkara wajib yang dituntut dalam Islam.

(Penulis merupakan pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Khas di Cheras, Selangor. Bakal menamatkan pengajian dan akan ditempatkan di Sekolah Pendidikan Khas.)


Rujukan
Al – Quran al - Karim

Abdullah Yusof. 2002. Bahasa Melayu di kalangan pelajar pekak. Jurnal Dewan
 Bahasa. Vol 2, No. 6 : 36 – 41

Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685 ), Bahagian II, Majlis Kebangsaan bagi  
            Orang Kurang Upaya

AKta Pendidikan 1996 (Akta 550), Bab 8 Pendidikan Khas.
Kementerian Pelajaran Malaysia (1980), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (& November 1979) cet 2, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamdi Ishak 2010, Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam kepada
murid sekolah kebangsaan pendidikan khas masalah pendengaran : satu kajian kes  Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah, No 163 – 171

Hamdi Ishak, 2010 Isu Pengajaran Pendidikan Islam kepada Kanak – Kanak
Bermasalah Pendengaran, Prosedings First Annual Inclusive Education Practices Conference, No 131 – 141
K.A Razhiyah (2005), Menjadi Guru Pendidikan Khas, Kuala Lumpur, PTS Professional
            Publishing Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 55 / 1998, Akta
            Pendidikan 1996 dan Peraturan – peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996,
 Kp (BS) 8591/ Jld. XIV (5) bertarikh 25 Mac 1998.

Maklumat Pendidikan Khas. (2004). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
            Malaysia.

Maklumat Pendidikan Khas. (2005). Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
            Malaysia.

Mohd Hanafi Mohd Yasin. (2005). Perbandingan pencapaian pelajar pendidikan khas
            (pekak) menggunakan tiga format peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
            (UPSR). Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan UKM Bangi.

Mohd Huzairi Awang @ Husain (2010). Persepsi pelajar bermasalah pendengaran
            terhadap pembelajaran fardu ain : Cabaran terhadap guru, Proceedings of the 4th
            International Conference on teacher Education : Join Conference UPI & UPSI,
            No 240 – 250

Mohd Mokhtar & Aliza (2005). Isu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam
            pelajar berkeperluan khas. Prosiding Wacana Pendidikan Islam : 405. Bangi :
            Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Safani bin Bari (2006), Psikologi dan Perkembangan Kanak – Kanak Masalah
            Pendengaran, Kuala Lumpur, Open Univerisiti Malaysia (OUM)

Sazali Shaari. Berita Harian, 20 Jun 2005.

 Siti Muhibah Hj. Nor 2010 Kesukaran Pemahaman murid – murid bermasalah
            pendengaran terhadap mata pelajaran pendidikan Islam, Prosedings First Annual
            Inclusive Education Practices Conference, No 122 – 130

Understanding Deaf Culture Malaysian Perspectives, Kuala Lumpur, Majudiri Y
            Foundation for the Deaf