Social Icons

Laman Utama

Rabu, 9 Mei 2012

Artikel Ilmiah 3: PENINGKATAN BUDAYA PEKAK DI MALAYSIA

Disediakan oleh : Syar Meeze bin Mohd Rashid

Apabila diperkatakan tentang budaya pekak, kebanyakan rakyat Malaysia tertanya-tanya dan tidak mengerti bahawa golongan pekak mempunyai budaya yang tersendiri. Tidak kiralah sesiapa sahaja kita bertanya kepada golongan yang tidak mempunyai kaitan dengan orang pekak dan pendidikan khas pasti mereka tidak mengenali budaya yang diamalkan oleh orang pekak. Di Malaysia budaya pekak merupakan suatu perkara yang baru dan masih belum banyak diperkatakan kecuali golongan yang mempunyai kaitan dengannya. Walaupun golongan pekak sudah lama wujud di Malaysia, tetapi budaya mereka masih lagi dalam peningkatan. Hal ini demikian kerana, kesedaran terhadap pendidikan khas dan golongan kurang upaya di Malaysia masih baru dan dalam perkembangan.
Budaya dalam kamus dewan edisi terbaru bermaksud tamadun, peradaban, kemajuan akal fikiran dan akal budaya. Antara kriteria dalam sesuatu budaya ialah sifat prilaku, kepercayaan, nilai, bahasa, kesenian, institusi dan sejarah. Peningkatan sesuatu budaya itu bergantung kepada perkembangan sesuatu bangsa itu sendiri. Misalnya, pada zaman dahulu, perkembangan budaya melayu sangat berkembang sehingga terkenal di seluruh nusantara disebabkan oleh sikap dan nilai yang dipegang oleh budaya itu sendiri. Jadi, ini membuktikan bahawa budaya pekak boleh diterima sebagai suatu budaya kerana memenuhi kriteria budaya seperti bahasa, sejarah, kepercayaan dan nilai.

Mengapa budaya pekak ini wujud?, Apakah yang menyebabkan budaya pekak wujud?. Budaya pekak wujud disebabkan oleh ciri-ciri berikut iaitu golongan pekak mempunyai bahasa dan ciri-ciri linguistik yang tersendiri. Bahasa yang mereka amalkan ialah bahasa isyarat. Kebanyakan masyarakat tidak menyedari bahawa bahasa isyarat merupakan suatu bahasa. Mereka menanggap bahawa bahasa isyarat ialah suatu simbol yang direka sahaja. 

Sebenarnya, bahasa isyarat merupakan suatu bahasa. Hal ini demikian kerana, bahasa isyarat mempunyai ciri-ciri dan memenuhi kriteria-kriteria bahasa. Bahasa isyarat juga, sentiasa mengalami perkembangan dari semasa ke semasa kerana kemajuan dan perkembangan akal golongan pekak dalam peningkatan. Antara bahasa isyarat yang diamalkan di Malaysia ialah BIM (Bahasa Isyarat Malaysia) atau MySL. Selain itu, terdapat golongan pekak mengamalkan bahasa isyarat Amerika atau Amerika Sign Language kerana golongan pekak ini telah mendapat pendidikan di sana. Bahasa yang diamalkan oleh komuniti pekak sentiasa mencapai tahap yang berbeza-beza mengikut pengetahuan yang mereka terima. Ini menunjukkan bahawa kemahiran bahasa yang dikuasai oleh seseorang pekak adalah berdasarkan kemajuan bahasa isyarat dan ilmu bahasa yang diperoleh.

Selain itu, ciri-ciri yang menyebabkan kewujudan budaya pekak ialah sikap dan nilai yang diamalkan oleh golongan pekak. Golongan pekak mempunyai nilai dan sikap yang tersendiri. Sebagai contoh, dari segi pertuturan, teguran dan sebagainya. Nilai yang dipegang oleh mereka mempunyai cara yang tersendiri dan sentiasa diamalkan dan diwariskan oleh semua golongan pekak. Kebanyakan nilai yang mereka amalkan tidak sama seperti kita. Misalnya, dari segi teguran, bagi kita sebagai warga normal, memegang bahu untuk menegur atau memanggil adalah suatu nilai yang kurang enak, berbanding dengan golongan pekak memegang bahu merupakan suatu adab untuk menegur dengan cara yang baik dan sopan.

Seterusnya, kesedaran sejarah yang diamalkan oleh golongan pekak menyebabkan budaya pekak wujud. Hal ini disebabkan oleh kesedaran mereka untuk berkembang maju telah timbul dalam diri mereka. Peredaran perkembangan kemajuan dalam komuniti mereka disebabkan oleh kesedaran sejarah komuniti mereka yang menjadi pendoman bagi mereka untuk berjaya. Selain itu, kesedaran ini wujud disebabkan oleh pengetahuan tentang peristiwa yang dialami oleh orang pekak dalam dan luar negara. Misalnya, salah satu punca menyebabkan orang pekak Malaysia mempunyai kesedaran terhadap perkembangan budaya pekak di Malaysia ialah kemajuan budaya pekak yang diamalkan di barat yang menjadi contoh dan ikutan bagi mereka. Mereka juga, sentiasa menghormati golongan pekak yang lebih tua dan menghargai pengetahuan mereka tentang tradisi-tradisi golongan pekak.

Kepercayaan yang diamalkan oleh golongan pekak juga menyebabkan kewujudan budaya pekak. Hal ini demikian kerana, seperti golongan normal golongan pekak juga, mempunyai kepercayaan agama masing-masing. Misalnya, terdapat golongan pekak yang menganut agama Islam, Buddha, Kristian dan sebagainya.Pendidikan agama yang diberikan kepada golongan pekak juga telah berkembang. Sebagai contoh, terdapat kelas-kelas pendidikan islam bagi golongan pekak dijalankan di persatuan-persatuan pekak. Hal ini membuktikan bahawa golongan pekak juga boleh mempelajari dan mengamalkan kepercayaan agama.

Pengeratan masyarakat pekak dapat dilihat dari segi penubuhan pelbagai persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang menyebabkan adanya budaya mereka. Misalnya, MFD (Malaysian Ferderation of Deaf), Pusat Maju Diri Y dan sebagainya. Kesemua, persatuan dan kelab ini mempunyai perkaitan dan hubungan antara satu sama lain dan mewujudkan perpaduan di antara golongan pekak.

Seterusnya, perkembangan kerjaya dalam kalangan orang pekak merupakan faktor yang menyebabkan wujudnya budaya pekak. Pada masa ini kerjaya orang pekak boleh dikatakan ke tahap yang baik. Hal ini demikian kerana, terdapat sesetengah masyarakat mula mempunyai kesedaran terhadap golongan pekak. Berbanding dengan pada masa dahulu golongan pekak di pandang hina dan di anggap oleh masyarakat sebagai golongan yang tidak mengetahui apa-apa. Namun, pada masa ini berkat usaha daripada persatuan-persatuan pekak seperti MFD, Pusat Maju Diri Y dan sebagainya telah membuktikan bahawa golongan pekak layak mendapat peluang kerjaya.

Di Malaysia kerajaan telah memberikan banyak peluang pendidikan kepada golongan pekak bagi membantu mereka membina kerjaya masing-masing. Sebagai contoh, penubuhan sekolah-sekolah khas, rendah dan menengah untuk masalah pendengaran, vokasional, dan institut pengajian tinggi bagi membolehkan golongan pekak menyambung pelajaran mereka. Hal ini membuktikan bahawa golongan pekak mampu belajar seperti golongan normal. Peningkatan pendidikan dalam kalangan orang pekak memberi peluang kepada mereka untuk memajukan budaya mereka.

Selain itu, terdapat peluang transisi kerjaya yang diberikan oleh golongan pekak. Misalnya, terdapat kolaborasi dengan kilang, pasar raya, kedai makanan dan sebagainya. Bantuan pekerjaan daripada kerajaan dapat membuka minda golongan pekak dan normal serta merwujudkan hubungan erat antara satu sama lain. Trasnsisi ini juga, memberi peluang kepada golongan pekak melibatkan diri dalam bidang kerjaya masing-masing.

Pelbagai kemudahan telah diberikan kepada golongan pekak bagi membantu perkembangan budaya dalam kalangan mereka. Sebagai contoh, kemudahan perubatan, kemudahan jurubahasa isyarat, kemudahan kebajikan, kemudahan pendidikan dan sebagainya. Sebagai contoh, kemudahan kad OKU yang diberikan oleh kerajaan yang membantu golongan pekak dalam mendapat pertolongan kebajikan seperti potongan harga tambang, bil dan sebagainya. Kemudahan ini menunjukan keperihatinan pihak kerajaan dalam membantu golongan kurang bernasib baik.Kesemua kemudahan ini memberi peluang kepada golongan pekak bagi mempertingkatkan budaya mereka.

Dari aspek perubatan juga, mempengaruhi perkembangan budaya pekak. Bidang perubatan kepada golongan pekak sangat penting kerana dapat membantu golongan pekak untuk mendengar dan bercakap. Misalnya, terdapat terapi audiologi, terapi pertuturan, implan koklea, alat bantu pendengaran dan sebagainya. Perkembangan dalam bidang perubatan terhadap golongan pekak sentiasa mencapai kemajuan. Sebagai contoh, penggunaan alat bantu dengar yang semakin canggih dapat memberi keselesaan dan bantuan yang sewajarnya serta kesenangan golongan pekak untuk mendengar. Kemajuan dalam bidang perubatan kepada golongan pekak ini dapat memberi peningkatan terhadap perkembangan budaya pekak.

Ramai yang menyalahtafsirkan bahawa komuniti pekak adalah daripada golongan pekak sahaja. Namun, sebenarnya komuniti pekak terdiri daripada golongan pekak, guru pendidikan khas yang mengajar golongan pekak, ibu bapa yang mempunyai anak pekak, jurubahasa isyarat, audiologis dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan golongan pekak boleh dikategorikan dalam komuniti pekak. Komuniti pekak ini memberi sokongan kepada golongan pekak dalam meningkatkan kerjaya mereka. Selain itu, komuniti pekak memberi bantuan kepada golongan pekak supaya mereka boleh hidup seperti manusia biasa.

Di Malaysia, bagi pendapat saya hubungan antara komuniti pekak kurang erat dan kurang mempunyai kesedaran. Misalnya, guru pendidikan khas yang mengajar golongan pekak kebanyakan mereka masih mempunyai sifat yang tidak bersungguh-sungguh dalam mengajar golongan pekak dan masih mempunyai tanggapan yang negatif terhadap golongan pekak. Selain itu, hubungan antara persatuan dan kelab pekak serta pihak kerajaan masih kurang erat kerana mempunyai perselisihan faham yang masih tidak mampu diselesaikan. Penggunaan bahasa isyarat di Malaysia yang mempunyai pelbagai pencanggahan dan pendapat yang menyebabkan sesetengah komuniti pekak berasa keliru dalam penggunaannya. Seterusnya, kesedaran sesetengah ibu bapa golongan pekak masih kurang dan tidak berusaha bersungguh-sungguh serta tidak mencari ilmu terhadap budaya dan ilmu kepekakan. Kesedaran masyarakat terhadap golongan pekak juga, masih kurang kerana masyarakat tidak banyak diberikan pendedahan yang sewajarnya dan ini menyebabkan kebanyakan masyarakat tidak sedar kehadiran dan kepentingan golongan pekak dalam kelompok mereka. Kesemua ini memberi impak yang besar dalam peningkatan budaya pekak di Malaysia jika masalah ini tidak ditanggani dengan segera. Setiap manusia sentiasalah mempunyai sifat betanggungjawab dan saling bantu-membantu serta bekerjasama supaya perkembangan dirisemakin meningkat. 

Bukannya, hanya menyalahkan antara satu sama lain dan bersikap ego serta sombong sehingga menyebabkan perkembangan itu terbantut. Jika tiada siapa yang hendak mengalah dan tidak mempunyai kesedaran atau tidak memberi kesedaran maka perkembangan itu tidak akan berjaya. Maaflah jika penulisan saya agak begitu kasar jika ada yang terasa tetapi kita sebagai manusia haruslah sentiasa menasihati antara satu sama lain dan bukannya cuba mencari kesalahan orang lain.

Jika kita perhatikan budaya pekak di negara-negara barat menyebabkan kita berasa kagum. Hal ini demikian kerana, kita ketahui bahawa sikap orang barat yang merlakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh menyebabkan apa yang mereka lakukan berjaya.Misalnya budaya pekak di Amerika mencapai peningkatan kemajuan yang hebat kerana kesepaduan komuniti mereka sangat erat sehingga menyebabkan mereka maju dan menjadi contoh kepada negara lain. Saya yakin jika komuniti pekak mempunyai kesedaran siapa tahu, komuniti pekak di Malaysia akan menjadi contoh dan ikutan kepada negara lain.

Kesimpulannya, jika manusia ingin membangun kesepaduan antara satu sama lain haruslah ditingkatkan. Buatlah apa cara sekalipun aktiviti, seminar, kempen dan sebagainya tetapi kurangmenyerapkan unsur perpaduan dan tidak mengamalkan nilai-nilai positif maka segala yang dilakukan hanya sia-sia sahaja. Sesuatu tamadun atau budaya berkembang disebabkan oleh kesepaduan bangsa itu sendiri tetapi sesuatu tamadun atau budaya itu musnah disebabkan oleh perpecahan bangsa mereka. Kalau kerajaan tengah sibuk melaksanakan gagasan satu Malaysia, kenapa pula komuniti atau budaya pekak tidak boleh. Jadi fikir-fikirkan.. Sekian.. 

Disediakan oleh : Syar Meeze bin Mohd Rashid
(Penulis merupakan guru pelatih tahun akhir di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas Cheras, dalam PISMP Pendidikan Khas. Beliau juga merupakan AJK Sokongan Persatuan Kebajikan Sahabat Insani Malaysia.)

Rujukan:


Understanding Deaf Culture Malaysian Perspectives (2006), Majudiri Y Foundation

for the Deaf, Kuala Lumpur
Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

0 ulasan: